GAMBARAN KESELURUHAN

Program Sarjana Muda Komunikasi (Pembangunan Kandungan) dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan program akademik baharu yang direka khusus untuk memenuhi keperluan era digital masa kini. Program ini menekankan penguasaan kemahiran pembangunan kandungan kreatif dan strategik merentasi pelbagai platform media untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dalam industri komunikasi dan media. Program ini memberi tumpuan kepada proses perancangan dan pengurusan kandungan digital untuk tujuan komunikasi, pemasaran, pendidikan, hiburan dan penghasilan kandungan digital. Pelajar akan didedahkan kepada pelbagai disiplin termasuk penulisan kreatif, reka bentuk komunikasi visual, strategi media digital, penceritaan, penghasilan audio dan visual serta analitik kandungan. Pendekatan pengajaran dalam program ini adalah berdasarkan pembelajaran berasaskan projek yang memberi peluang kepada pelajar untuk menghasilkan karya sebenar seperti video, podcast, bahan interaktif dan kandungan media sosial yang relevan dengan keperluan industri. Kerjasama dengan organisasi media kreatif, komunikasi pemasaran dan industri korporat juga dilaksanakan untuk menyediakan graduan bagi menghadapi dunia pekerjaan sebenar. Program ini bukan sahaja melahirkan pengamal media, tetapi juga pemikir strategik dan pencipta kandungan yang mampu mempengaruhi khalayak melalui kandungan yang beretika, berimpak dan berharga. Graduan akan dilengkapi dengan kemahiran komunikasi, keupayaan penciptaan dan analisis kandungan, serta kecekapan analitik digital yang akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan ekosistem industri kreatif dan media yang dinamik dan sentiasa berkembang.