GAMBARAN KESELURUHAN

Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) direka untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan, berfikiran kritis dan berkemahiran tinggi dalam bidang komunikasi sosial berdasarkan nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial dan kesejahteraan masyarakat. Program ini menekankan kemahiran merancang dan melaksanakan kempen komunikasi sosial yang berkesan untuk tujuan advokasi, pemerkasaan komuniti dan perubahan sosial yang positif. Pelajar akan didedahkan dengan teori komunikasi, analisis sosial dan aplikasi komunikasi dalam pelbagai konteks sosial termasuk komuniti, organisasi, media dan institusi awam. Bidang tumpuan termasuk komunikasi interpersonal, komunikasi massa, komunikasi antara budaya, komunikasi pembangunan dan strategi komunikasi organisasi dan komuniti. Selain menguasai teori, pelajar juga menjalani latihan praktikal melalui projek lapangan, analisis kes, simulasi media dan kerjasama dengan industri dan agensi komuniti. Program ini juga membangunkan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi strategik, penyelesaian masalah, kerjasama, kepimpinan sosial dan penggunaan teknologi digital dalam menyampaikan mesej secara kreatif dan berkesan, meliputi bidang seperti penyiaran, perhubungan awam, kewartawanan, pengiklanan, komunikasi korporat dan reka bentuk komunikasi.